Tuesday 11 November 2014

KEPENTINGAN MENGISI MASA LAPANG




A. Kepentingan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah.

        Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini, kita perlu bijak  mengatur   langkah   agar    perkara  yang dilakukan akan memberi manfaat.   Satu  daripada  usaha positif yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan mengisi masa   lapang   dengan  kegiatan  yang   dapat    memberi keuntungan kepada diri kita dan orang lain. Kegiatan masalapang harus dilakukan dengan perancangan mengikutkegemaran dan minat masing-masing agar memberi manfaat, misalnya memancing, bersukan atau membaca.

        Kegiatan memancing ikan merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang kita. Kita boleh melakukan kegiatan ini bersama rakan atau ahli keluarga kita pada cuti umum atau pada hujung minggu. Hal ini terjadi demikian kerana kegiatan ini sememangnya banyak mempunyai kepentingan kepada kita. Jika kegiatan ini dilakukan bersama ahli keluarga, pastinya akan dapat mengeratkan hubungan keluarga kita. Selain itu, memancing ikan juga telah dikenal pasti sebagai kegiatan yang amat menyeronokkan,selain mampu menghilangkan tekanan dan keletihan setelah seseorang itu penat bekerja.Bayangkanlah apabila joran yang dipasang memperoleh seekor ikan yang besar,tentu sekali kita akan berasa seronok. Ikan yang kita peroleh ini pula boleh dijual untuk memperoleh pendapatan sampingan keluarga kita atau dapat dijadikan hidangan. Memancing ini juga boleh dijadikan salah satu cara untuk kita berehat atau menenangkan fikiran. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa memancing ikan banyak mendatangkan
faedah kepada kita.

        Selain itu, kita juga banyak memperoleh kepentingan
daripada mengisi masa lapang kita dengan beriadah dan bersukan. Banyak jenis sukan yang dapat kita lakukan padawaktu senggang kita. Contohnya, badminton, bola sepak,pingpong dan lain-lain lagi.Jika kegiatan ini dilakukan bersama ahli keluarga kita, pastinya hubungan silaturahimdalam kalangan anggota keluarga kita dapat dieratkan.Beriadah dan bersukan juga mampu menyihatkan tubuh badan kita. Sekiranya tubuh badan kita sihat, kita akan dapat melakukan tugasan seharian dengan baik dan sempurna. Bagi para pelajar pula, bersukan dan beriadahmenjadikan badan seseorang pelajar itu sihat dan otak  mereka menjadi cerdas. Dengan ini tentunya para pelajar akan dapat belajar dengan tenang serta dapat menerima pelajaran yang disampaikan oleh guru mereka dengan mudah. Semasa bersukan atau beriadah bersama dengan rakan-rakan pula, seseorang itu akan berpeluang untuk berbual-bual tentang pekerjaan, perniagaan atau sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat dan negara. Jadi, kegiatan ini sememangnya amat menguntungkan kita jika selalu diamalkan. 

        Di samping itu, ada sesetengah orang lebih gemar mengisi masa lapang mereka dengan kegiatan yang berkaitan dengan penambahan ilmu pengetahuan seperti membaca bahan-bahan bacaan, melayari Internet atau menonton televisyen. Kegiatan seperti ini pastinya seseorang itu akan banyak memperoleh ilmu pengatahuan yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi atau isu-isu semasa sama ada di dalam atau di luar negara. Para pelajar memang digalakkan supaya menggunakan masa lapang mereka dengan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pelajaran atau pengetahuan am. Manfaat daripada kekerapan mereka membaca atau melayari Internet ini akan melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang pelajaran bahkan juga dalam bidang sahsiah serta mampu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis.

        Sebagai kesimpulannya, jelaslah bahawa pengisian masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah sememangnya banyak mempunyai kepentingannya kepada diri kita dan juga kepada orang lain.  Oleh itu sebagai rakyat Malaysia yang berwawasan marilah kita mengisi masa lapang kita dengan kegiatan yang mendataangkan keuntungan. Tindakan ini dapat merealisasikan asprasi negara untuk melahirkan warganegara yang bijak menggunakan masa lapang dan berwawasan.

No comments:

Post a Comment