Saturday 24 January 2015


LANGKAH-LANGKAH MENANGANI MASALAH PENCEMARAN BAHASA

 

Masalah  pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan  masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat  kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Huraikan langkah untuk menangani masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

       Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
         Salah satu langkah untuk membendung masalah penemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah Sambil menyelam minum air
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu.  Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.
Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai dengan peribahasa Melayu, Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pencemaran bahasa yang sering kita lihat adalah di papan-papan tanda. Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis bagi papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnyamasalah pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah mendapat kelulusan bahasa daripada pakar-pakar bahasa Melayu. Dengan ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu,Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Di samping itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini langsung tidak mendatangkan maslahat kepada anak-anak, ibu bapa, mahupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk memprioritikan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas.  

Tuesday 18 November 2014

Berkunjung ke Pameran Komputer


















       Baru-baru ini, saya berpeluang menyaksikan pameran komputer yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru.  Pameran yang dianjurkan oleh ( PIKOM ) ini berlangsung selama tiga hari iaitu pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad.
Pada hari tersebut, saya bangun awal kerana tidak sabar-sabar untuk menyaksikan pemeran tersebut. Saya menyaksikan pameran itu dengan kakak saya.

       Setibanya di sana, saya dapati orang ramai sudah mula berpusu-pusu memasuki ruang pameran walaupun jam pada tangan saya baru menunjukkan pukul 11:00 pagi. Saya agak terkejut ketika melangkah masuk ke ruang pameran itu kerana saya telah terpilih sebagai pengunjung yang ke-1000 berdasarkan nama pengunjung yang tercatat pada buku pendaftaran yang baru sahaja saya tulis tadi. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa saya layak untuk membawa pulang hadiah berupa sebuah komputer riba. Saya sungguh gembira kerana mendapat durian runtuh itu. 

       Di ruang pameran, terdapat berpuluh-puluh gerai mempamerkan produk berkaitan dengan komputer. Gerai-gerai itu bukan sahaja mempamerkan komputer tercanggih, malah menjual buku komputer, perisian komputer, pengimbas, mesin pencetak, dan aksesori komputer yang lain. Saya juga dapat melihat gerai komputer yang dilengkapi dengan Internet telah mendapat perhatian utama daripada para pengunjung. Para pengunjung dilayan dengan mesra dan senyuman yang tidak pernah lekang pada bibir jurujual di gerai-gerai komputer tersebut. Mereka yang berminat boleh mendaftar diri sebagai pengguna Internet di gerai tersebut. Saya begitu tertarik oleh berjenis-jenis komputer terkini yang dipamerkan di gerai-gerai yang terdapat di situ.

       Saya dan kakak saya terus berjalan dari satu gerai ke satu gerai untuk melihat berjenis-jenis komputer dan aksesori komputer yang dipamerkan. Keadaan di ruang pameran itu semakin sesak dengan para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Saya terpaksa bergerak perlahan-lahan di antara gerai-gerai itu. Dalam pada itu telinga saya bingit dengan pelbagai macam bunyi muzik dari komputer yang kedengaran di sana sini. Para penjual pula sibuk dengan gelagat masing-masing untuk menarik minat pengunjung supaya datang ke gerai mereka. Mereka berteriak dengan suara yang kuat. Para pembantu gerai pula sibuk memberikan risalah-risalah percuma kepada para pengunjung.

       Pelbagai ragam manusia dapat dilihat di sepanjang pameran itu berlangsung. Para remaja diberi peluang bermain permainan komputer dan menyertai kuiz. Di suatu sudut lain, penjelasan diberikan oleh para petugas tentang
cara-cara memasang komponen komputer dan memasukkan perisian komputer.

       Pendek kata, pengalaman berkunjung ke pameran komputer sungguh menyeronokkan. Secara tidak sedar kami telah berada di ruang pameran itu selama tiga jam. Saya pun pulang dengan penuh bangga sambil menjinjing sebuah komputer riba.

Hasil Tulisan Ridzwan Rashid

Thursday 13 November 2014



MENULIS ULASAN ( Bahagian C)

A. Gambar-gambar di bawah menunjukkan beberapa permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Tulis ulasan tentang permainan tersebut yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.





          Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan  untuk mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian kerana permainan ini banyak mempunyai faedahnya. Antara faedahnya ialah permainan ini dapat dijadikan produk pelancongan yang menguntungkan negara. Banyak pelancong yang datang ke negara kita untuk melihat keunikan budaya warisan yang terdapat di Malaysia.  Selain   itu, permainan ini dapat dijadikan sumber hiburan yang menyeronokkan. Seterusnya, bermain permainan tradisional dapat mengisi masa lapang kita dengan aktiviti yang berfaedah. Permainan tradisionl merupakan warisan budaya negara yang harus dikekalkan supaya tidak pupus ditelan zaman. Tuntasnya, kita perlu mengembalikan kegemilangan permainan tradisional kerana permainan ini banyak mendatangkan faedah kepada rakyat dan negara.


B. Lihat gambar Gaya Hidup Sihat di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.


                           GAYA HIDUP SIHAT


        



                              








                                         
                                      



          Pada zaman yang serba moden ini, gaya hidup sihat perlu diamalkan. Pengambilan makanan yang seimbang mengikut piramid makanan penting untuk menjamin kesihatan diri. Ini kerana, piramid makanan menunjukkan kadar makanan harian yang patut kita ambil untuk menjamin kesihatan. Selain itu, kita juga perlu bersenam kerana aktiviti ini dapat membantu badan kita mengeluarkan peluh dan melancarkan perjalanan darah. Kita juga haruslah membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengesan tahap kesihatan tubuh badan kita dan dapat mengesan penyakit pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Jelaslah bahawa gaya hidup sihat merupakan salah satu cara yang perlu kita amalkan untuk menjamin kesihatan tubuh badan kita.


C. Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.


MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN



Amalan ziarah-menziarahi 



Amalan bergotong-royong




Majlis rumah terbuka









          Pelbagai langkah efektif perlu dilaksanakan untuk memupuk semangat kejiranan kerana, jiran sepakat membawa berkat. Amalan ziarah-menziarahi, penting bagi menyuburkan semangat kejiranan. Kita boleh mengunjungi jiran sewaktu mereka sakit, ditimpa musibah atau hari perayaan. Amalan ini dapat merapatkan hubungan silaturahim  sesama jiran. Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk semangat kejiranan. Kita dapat berkenalan, bertanyakan khabar dan berbual-bual semasa melakukan kerja dan menjadikan hubungan kita dengan jiran bertambah rapat, bagai aur dengan tebing. Seterusnya, kita digalakkan mengadakan rumah terbuka semasa musim perayaan. Dengan cara ini kita dapat mengenali adat dan budaya kaum-kaum lain selaki gus mampu mewujudkan persefahaman. Jadi,semangat kejiranan perlu dipupuk bagi menjamin keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di negara kita.


D. Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.

PERANAN IBU BAPA MENGEKANG GEJALA SOSIAL





Memberikan didikan agama 









Membuat pemantauan







Mencurahkan kasih sayang








    



    
        Pada zaman globalisasi ini, gejala sosial semakin meruncing dan membimbangkan masyarakat. Oleh itu, peranan ibu bapa amat signifikan untuk mengekang masalah sosial ini. Salah satu peranan   ibu bapa ialah, mereka sewajarnya memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak kecil lagi, kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan cara ini, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata dan terhindar daripada melakukan kegiatan yang tidak bermoral. Selain itu, kasih sayang yang secukupnya amat diperlukan oleh anak-anak agar tidak mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Seterusnya, ibu bapa hendaklah membuat pemantauan dan mengawasi pergaulan anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil berat tentang aktiviti dan mengenali rakan karib anak-anak untuk memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan-rakan yang buruk akhlaknya. Kesimpulannya, ibu bapa haruslah bertanggungjawab menanangi gejala sosial,  sebelum anak-anak terhumban ke dalam gaung kegelapan.




E. Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdsarkan maklumat yang diiberikan dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.





                      KEJADIAN BANJIR KILAT




                                            
                                                                 


















- Hujan lebat
- Penebangan pokok yang tidak terkawal
- Sistem perparitan yang kecil dan mudah tersumbat




         Banjir kilat merupakan fenomena cuaca yang sering berlaku terutama, di kawasan-kawasan tanah rendah.
         
         Hujan lebat yang berterusan sehingga berjam-jam lamanya telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Keadaan ini sering terjadi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

          Selain itu, penebangan hutan yang tidak terancang juga menyebabkan kejadian banjir kiat. Ini kerana air hujan yang turun tidak dapat diserap oleh pokok menyebabkan air mengalir ke kawasan tanah rendah.

         Di samping itu, banjir kilat juga berpunca daripada sistem perparitan yang kecil dan mudah tersumbat. Ini menyebabkan jumlah air yang melimpah semasa hujan lebat tidak dapat ditampung.

          Oleh itu,semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing, bagi menangani masalah ini.




Latihan 1

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.

CIRI-CIRI PENGGUNA BIJAK


Membandingkan harga                            Merancang 
                                                              perbelanjaan          










Pembelian berdasarkan                        Membeli secara 
keperluan                                            borong















Pembukaan

 -berbelanja secara berhemah
- banyak kelebihan- mengamalkan ciri-ciri pengguna bijak

Isi
1. - membandingkan harga
    - memilih premis yang menawarkan harga yang lebih murah

2. - merancang perbelanjaan
    - tidak terpengaruh oleh iklan-iklan jualan murah

3. - membeli barang keperluan sahaja
    - dapat mengamalkan sikap berjimat cermat

Penutup   
    - harus bijak menguruskan perbelanjaan
    - menangani inflasi dan memberikan nilai yang lebih terhadap  
      wang kita.