Tuesday 18 November 2014

Berkunjung ke Pameran Komputer


















       Baru-baru ini, saya berpeluang menyaksikan pameran komputer yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru.  Pameran yang dianjurkan oleh ( PIKOM ) ini berlangsung selama tiga hari iaitu pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad.
Pada hari tersebut, saya bangun awal kerana tidak sabar-sabar untuk menyaksikan pemeran tersebut. Saya menyaksikan pameran itu dengan kakak saya.

       Setibanya di sana, saya dapati orang ramai sudah mula berpusu-pusu memasuki ruang pameran walaupun jam pada tangan saya baru menunjukkan pukul 11:00 pagi. Saya agak terkejut ketika melangkah masuk ke ruang pameran itu kerana saya telah terpilih sebagai pengunjung yang ke-1000 berdasarkan nama pengunjung yang tercatat pada buku pendaftaran yang baru sahaja saya tulis tadi. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa saya layak untuk membawa pulang hadiah berupa sebuah komputer riba. Saya sungguh gembira kerana mendapat durian runtuh itu. 

       Di ruang pameran, terdapat berpuluh-puluh gerai mempamerkan produk berkaitan dengan komputer. Gerai-gerai itu bukan sahaja mempamerkan komputer tercanggih, malah menjual buku komputer, perisian komputer, pengimbas, mesin pencetak, dan aksesori komputer yang lain. Saya juga dapat melihat gerai komputer yang dilengkapi dengan Internet telah mendapat perhatian utama daripada para pengunjung. Para pengunjung dilayan dengan mesra dan senyuman yang tidak pernah lekang pada bibir jurujual di gerai-gerai komputer tersebut. Mereka yang berminat boleh mendaftar diri sebagai pengguna Internet di gerai tersebut. Saya begitu tertarik oleh berjenis-jenis komputer terkini yang dipamerkan di gerai-gerai yang terdapat di situ.

       Saya dan kakak saya terus berjalan dari satu gerai ke satu gerai untuk melihat berjenis-jenis komputer dan aksesori komputer yang dipamerkan. Keadaan di ruang pameran itu semakin sesak dengan para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Saya terpaksa bergerak perlahan-lahan di antara gerai-gerai itu. Dalam pada itu telinga saya bingit dengan pelbagai macam bunyi muzik dari komputer yang kedengaran di sana sini. Para penjual pula sibuk dengan gelagat masing-masing untuk menarik minat pengunjung supaya datang ke gerai mereka. Mereka berteriak dengan suara yang kuat. Para pembantu gerai pula sibuk memberikan risalah-risalah percuma kepada para pengunjung.

       Pelbagai ragam manusia dapat dilihat di sepanjang pameran itu berlangsung. Para remaja diberi peluang bermain permainan komputer dan menyertai kuiz. Di suatu sudut lain, penjelasan diberikan oleh para petugas tentang
cara-cara memasang komponen komputer dan memasukkan perisian komputer.

       Pendek kata, pengalaman berkunjung ke pameran komputer sungguh menyeronokkan. Secara tidak sedar kami telah berada di ruang pameran itu selama tiga jam. Saya pun pulang dengan penuh bangga sambil menjinjing sebuah komputer riba.

Hasil Tulisan Ridzwan Rashid

15 comments: