Tuesday 18 November 2014

Berkunjung ke Pameran Komputer


















       Baru-baru ini, saya berpeluang menyaksikan pameran komputer yang diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru.  Pameran yang dianjurkan oleh ( PIKOM ) ini berlangsung selama tiga hari iaitu pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad.
Pada hari tersebut, saya bangun awal kerana tidak sabar-sabar untuk menyaksikan pemeran tersebut. Saya menyaksikan pameran itu dengan kakak saya.

       Setibanya di sana, saya dapati orang ramai sudah mula berpusu-pusu memasuki ruang pameran walaupun jam pada tangan saya baru menunjukkan pukul 11:00 pagi. Saya agak terkejut ketika melangkah masuk ke ruang pameran itu kerana saya telah terpilih sebagai pengunjung yang ke-1000 berdasarkan nama pengunjung yang tercatat pada buku pendaftaran yang baru sahaja saya tulis tadi. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa saya layak untuk membawa pulang hadiah berupa sebuah komputer riba. Saya sungguh gembira kerana mendapat durian runtuh itu. 

       Di ruang pameran, terdapat berpuluh-puluh gerai mempamerkan produk berkaitan dengan komputer. Gerai-gerai itu bukan sahaja mempamerkan komputer tercanggih, malah menjual buku komputer, perisian komputer, pengimbas, mesin pencetak, dan aksesori komputer yang lain. Saya juga dapat melihat gerai komputer yang dilengkapi dengan Internet telah mendapat perhatian utama daripada para pengunjung. Para pengunjung dilayan dengan mesra dan senyuman yang tidak pernah lekang pada bibir jurujual di gerai-gerai komputer tersebut. Mereka yang berminat boleh mendaftar diri sebagai pengguna Internet di gerai tersebut. Saya begitu tertarik oleh berjenis-jenis komputer terkini yang dipamerkan di gerai-gerai yang terdapat di situ.

       Saya dan kakak saya terus berjalan dari satu gerai ke satu gerai untuk melihat berjenis-jenis komputer dan aksesori komputer yang dipamerkan. Keadaan di ruang pameran itu semakin sesak dengan para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Saya terpaksa bergerak perlahan-lahan di antara gerai-gerai itu. Dalam pada itu telinga saya bingit dengan pelbagai macam bunyi muzik dari komputer yang kedengaran di sana sini. Para penjual pula sibuk dengan gelagat masing-masing untuk menarik minat pengunjung supaya datang ke gerai mereka. Mereka berteriak dengan suara yang kuat. Para pembantu gerai pula sibuk memberikan risalah-risalah percuma kepada para pengunjung.

       Pelbagai ragam manusia dapat dilihat di sepanjang pameran itu berlangsung. Para remaja diberi peluang bermain permainan komputer dan menyertai kuiz. Di suatu sudut lain, penjelasan diberikan oleh para petugas tentang
cara-cara memasang komponen komputer dan memasukkan perisian komputer.

       Pendek kata, pengalaman berkunjung ke pameran komputer sungguh menyeronokkan. Secara tidak sedar kami telah berada di ruang pameran itu selama tiga jam. Saya pun pulang dengan penuh bangga sambil menjinjing sebuah komputer riba.

Hasil Tulisan Ridzwan Rashid

Thursday 13 November 2014



MENULIS ULASAN ( Bahagian C)

A. Gambar-gambar di bawah menunjukkan beberapa permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Tulis ulasan tentang permainan tersebut yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.





          Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan  untuk mempopularkan permainan tradisional. Hal ini demikian kerana permainan ini banyak mempunyai faedahnya. Antara faedahnya ialah permainan ini dapat dijadikan produk pelancongan yang menguntungkan negara. Banyak pelancong yang datang ke negara kita untuk melihat keunikan budaya warisan yang terdapat di Malaysia.  Selain   itu, permainan ini dapat dijadikan sumber hiburan yang menyeronokkan. Seterusnya, bermain permainan tradisional dapat mengisi masa lapang kita dengan aktiviti yang berfaedah. Permainan tradisionl merupakan warisan budaya negara yang harus dikekalkan supaya tidak pupus ditelan zaman. Tuntasnya, kita perlu mengembalikan kegemilangan permainan tradisional kerana permainan ini banyak mendatangkan faedah kepada rakyat dan negara.


B. Lihat gambar Gaya Hidup Sihat di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.


                           GAYA HIDUP SIHAT


        



                              








                                         
                                      



          Pada zaman yang serba moden ini, gaya hidup sihat perlu diamalkan. Pengambilan makanan yang seimbang mengikut piramid makanan penting untuk menjamin kesihatan diri. Ini kerana, piramid makanan menunjukkan kadar makanan harian yang patut kita ambil untuk menjamin kesihatan. Selain itu, kita juga perlu bersenam kerana aktiviti ini dapat membantu badan kita mengeluarkan peluh dan melancarkan perjalanan darah. Kita juga haruslah membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengesan tahap kesihatan tubuh badan kita dan dapat mengesan penyakit pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Jelaslah bahawa gaya hidup sihat merupakan salah satu cara yang perlu kita amalkan untuk menjamin kesihatan tubuh badan kita.


C. Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.


MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN



Amalan ziarah-menziarahi 



Amalan bergotong-royong




Majlis rumah terbuka









          Pelbagai langkah efektif perlu dilaksanakan untuk memupuk semangat kejiranan kerana, jiran sepakat membawa berkat. Amalan ziarah-menziarahi, penting bagi menyuburkan semangat kejiranan. Kita boleh mengunjungi jiran sewaktu mereka sakit, ditimpa musibah atau hari perayaan. Amalan ini dapat merapatkan hubungan silaturahim  sesama jiran. Selain itu, amalan bergotong-royong juga dapat memupuk semangat kejiranan. Kita dapat berkenalan, bertanyakan khabar dan berbual-bual semasa melakukan kerja dan menjadikan hubungan kita dengan jiran bertambah rapat, bagai aur dengan tebing. Seterusnya, kita digalakkan mengadakan rumah terbuka semasa musim perayaan. Dengan cara ini kita dapat mengenali adat dan budaya kaum-kaum lain selaki gus mampu mewujudkan persefahaman. Jadi,semangat kejiranan perlu dipupuk bagi menjamin keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di negara kita.


D. Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.

PERANAN IBU BAPA MENGEKANG GEJALA SOSIAL





Memberikan didikan agama 









Membuat pemantauan







Mencurahkan kasih sayang








    



    
        Pada zaman globalisasi ini, gejala sosial semakin meruncing dan membimbangkan masyarakat. Oleh itu, peranan ibu bapa amat signifikan untuk mengekang masalah sosial ini. Salah satu peranan   ibu bapa ialah, mereka sewajarnya memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak kecil lagi, kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan cara ini, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata dan terhindar daripada melakukan kegiatan yang tidak bermoral. Selain itu, kasih sayang yang secukupnya amat diperlukan oleh anak-anak agar tidak mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Seterusnya, ibu bapa hendaklah membuat pemantauan dan mengawasi pergaulan anak-anak. Ibu bapa perlu mengambil berat tentang aktiviti dan mengenali rakan karib anak-anak untuk memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan-rakan yang buruk akhlaknya. Kesimpulannya, ibu bapa haruslah bertanggungjawab menanangi gejala sosial,  sebelum anak-anak terhumban ke dalam gaung kegelapan.




E. Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdsarkan maklumat yang diiberikan dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.





                      KEJADIAN BANJIR KILAT




                                            
                                                                 


















- Hujan lebat
- Penebangan pokok yang tidak terkawal
- Sistem perparitan yang kecil dan mudah tersumbat




         Banjir kilat merupakan fenomena cuaca yang sering berlaku terutama, di kawasan-kawasan tanah rendah.
         
         Hujan lebat yang berterusan sehingga berjam-jam lamanya telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Keadaan ini sering terjadi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

          Selain itu, penebangan hutan yang tidak terancang juga menyebabkan kejadian banjir kiat. Ini kerana air hujan yang turun tidak dapat diserap oleh pokok menyebabkan air mengalir ke kawasan tanah rendah.

         Di samping itu, banjir kilat juga berpunca daripada sistem perparitan yang kecil dan mudah tersumbat. Ini menyebabkan jumlah air yang melimpah semasa hujan lebat tidak dapat ditampung.

          Oleh itu,semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing, bagi menangani masalah ini.




Latihan 1

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut, tulis ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan.

CIRI-CIRI PENGGUNA BIJAK


Membandingkan harga                            Merancang 
                                                              perbelanjaan          










Pembelian berdasarkan                        Membeli secara 
keperluan                                            borong















Pembukaan

 -berbelanja secara berhemah
- banyak kelebihan- mengamalkan ciri-ciri pengguna bijak

Isi
1. - membandingkan harga
    - memilih premis yang menawarkan harga yang lebih murah

2. - merancang perbelanjaan
    - tidak terpengaruh oleh iklan-iklan jualan murah

3. - membeli barang keperluan sahaja
    - dapat mengamalkan sikap berjimat cermat

Penutup   
    - harus bijak menguruskan perbelanjaan
    - menangani inflasi dan memberikan nilai yang lebih terhadap  
      wang kita. 

Tuesday 11 November 2014

KEPENTINGAN MENGISI MASA LAPANG




A. Kepentingan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah.

        Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini, kita perlu bijak  mengatur   langkah   agar    perkara  yang dilakukan akan memberi manfaat.   Satu  daripada  usaha positif yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan mengisi masa   lapang   dengan  kegiatan  yang   dapat    memberi keuntungan kepada diri kita dan orang lain. Kegiatan masalapang harus dilakukan dengan perancangan mengikutkegemaran dan minat masing-masing agar memberi manfaat, misalnya memancing, bersukan atau membaca.

        Kegiatan memancing ikan merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang kita. Kita boleh melakukan kegiatan ini bersama rakan atau ahli keluarga kita pada cuti umum atau pada hujung minggu. Hal ini terjadi demikian kerana kegiatan ini sememangnya banyak mempunyai kepentingan kepada kita. Jika kegiatan ini dilakukan bersama ahli keluarga, pastinya akan dapat mengeratkan hubungan keluarga kita. Selain itu, memancing ikan juga telah dikenal pasti sebagai kegiatan yang amat menyeronokkan,selain mampu menghilangkan tekanan dan keletihan setelah seseorang itu penat bekerja.Bayangkanlah apabila joran yang dipasang memperoleh seekor ikan yang besar,tentu sekali kita akan berasa seronok. Ikan yang kita peroleh ini pula boleh dijual untuk memperoleh pendapatan sampingan keluarga kita atau dapat dijadikan hidangan. Memancing ini juga boleh dijadikan salah satu cara untuk kita berehat atau menenangkan fikiran. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa memancing ikan banyak mendatangkan
faedah kepada kita.

        Selain itu, kita juga banyak memperoleh kepentingan
daripada mengisi masa lapang kita dengan beriadah dan bersukan. Banyak jenis sukan yang dapat kita lakukan padawaktu senggang kita. Contohnya, badminton, bola sepak,pingpong dan lain-lain lagi.Jika kegiatan ini dilakukan bersama ahli keluarga kita, pastinya hubungan silaturahimdalam kalangan anggota keluarga kita dapat dieratkan.Beriadah dan bersukan juga mampu menyihatkan tubuh badan kita. Sekiranya tubuh badan kita sihat, kita akan dapat melakukan tugasan seharian dengan baik dan sempurna. Bagi para pelajar pula, bersukan dan beriadahmenjadikan badan seseorang pelajar itu sihat dan otak  mereka menjadi cerdas. Dengan ini tentunya para pelajar akan dapat belajar dengan tenang serta dapat menerima pelajaran yang disampaikan oleh guru mereka dengan mudah. Semasa bersukan atau beriadah bersama dengan rakan-rakan pula, seseorang itu akan berpeluang untuk berbual-bual tentang pekerjaan, perniagaan atau sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat dan negara. Jadi, kegiatan ini sememangnya amat menguntungkan kita jika selalu diamalkan. 

        Di samping itu, ada sesetengah orang lebih gemar mengisi masa lapang mereka dengan kegiatan yang berkaitan dengan penambahan ilmu pengetahuan seperti membaca bahan-bahan bacaan, melayari Internet atau menonton televisyen. Kegiatan seperti ini pastinya seseorang itu akan banyak memperoleh ilmu pengatahuan yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi atau isu-isu semasa sama ada di dalam atau di luar negara. Para pelajar memang digalakkan supaya menggunakan masa lapang mereka dengan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pelajaran atau pengetahuan am. Manfaat daripada kekerapan mereka membaca atau melayari Internet ini akan melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang pelajaran bahkan juga dalam bidang sahsiah serta mampu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis.

        Sebagai kesimpulannya, jelaslah bahawa pengisian masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah sememangnya banyak mempunyai kepentingannya kepada diri kita dan juga kepada orang lain.  Oleh itu sebagai rakyat Malaysia yang berwawasan marilah kita mengisi masa lapang kita dengan kegiatan yang mendataangkan keuntungan. Tindakan ini dapat merealisasikan asprasi negara untuk melahirkan warganegara yang bijak menggunakan masa lapang dan berwawasan.
MELAWAT KE TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH














A. Ceritakan pengalaman anda semasa melawat ke tempat-tempat bersejarah yang terkenal di negara kita.


      Pada cuti persekolahan yang lalu, bapa saya telah bersetuju untuk membawa kami sekeluarga melawat ke beberapa tempat yang bersejarah untuk menambahakan ilmu pengetahuan dan menanamkan semangat patriotisme dalam diri kami. Kami berasa besar hati untuk melawat ke tempat tersebut. Awal-awal pagi lagi, kami mula mengemaskan barang keperluan masing-masing sebelum memulakan perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut. Saya telah membawa buku catatan untuk membuat nota  dan kamera digital untuk merakam gambar-gambar menarik untuk dijadikan kenangan. Selepas mengemaskan barang-barang, kami pun bertolak ke Melaka Bandaraya Bersejarah dengan menaiki kereta bapa saya.

      Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual kosong sambil menikmati makanan ringan yang dibekalkan oleh ibu. Beberapa jam kemudian, kami tiba di destinasi yang pertama, iaitu kota A' Farmosa. Sebaik-baik saja turun dari kereta, adik saya melompat-lompat kegembiraan kerana inilah kali pertama dia melinat bangunan bersejarah itu. Bapa saya sempat menceritakan peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan kota ini. Kota A' Farmosa ini dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau dan terdapat juga beberapa ekor monyet yang jinak meminta makanan daripada pengunjung yang lalu-lalang di situ. 

      Selepas berkunjung ke Kota A' Farmosa, kami menjamu selera di sebuah restoran yang menjual nasi ayam. Selepas itu, kami bertolak ke hotel untuk meletakkan barang-barang kami dan berehat untuk menghilangkan penat. Pada sebelah malamnya kami berpeluang untuk menaiki beca mengelilingi 'Jonker Walk'. Beca yang kami naiki dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni dan selesa. Saya telah membeli beberapa buah cenderahati untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan saya. Barangan yang dijual di 'Jonker Walk' agak murah. Tidak hairanlah banyak pelancong yang membeli-belah di situ. Pada kira-kira pukul 11:00 malam kami pun kembali ke hotel untuk tidur. 

      Pada keesokan harinya, kami bangun pada pukul 9:00 pagi dan bersarapan di hotel itu. Pada hari tersebut kami akan melawat ke Tugu Peringatan dan Muzium Negara di Kuala Lumpur. Kami bertolak pada pukul 10:00 pagi. Semasa dalam perjalanan, saya berkongsi gambar yang telah di rakam semasa berada di Melaka. Selepas beberapa jam perjalanan, saya dan keluarga saya tiba di Tugu Peringatan. Kami tidak sabar untuk melihatnya kerana selama ini kami hanya melihat tugu tersebut menerusi gambar atau layar televisyen. Saya begitu terharu melihat patung pahlawan-pahlawan kita yang telah gugur di medan perang sewaktu berjuang menuntut kemerdekaan negara yang tercinta ini. Terdapat patung seorang askar memegang Jalur Gemilang yang melambangkan kejayaan para perajurit menuntut kemerdekaan tanah air walaupun akhirnya beliau telah terkorban.

      Seterusnya, bapa saya membawa kami berkunjung ke Muzium Negara yang terletak tidak jauh dari Tugu Peringatan yang telah kami kunjungi sebelum ini. Muzium Negara merupakan bangunan yang menempatkan dan mempamerkan peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku di negara kita sejak dahulu lagi. Seni bina bangunan Muzium Negara amat menarik perhatian kami sekeluarga. Selepas membeli tiket kami pun masuk ke dalam bangunan muzium tersebut. Namun saya berasa agak kecewa kerana tidak dibenarkan membawa kamera masuk ke tempat bersejarah itu. Walau bagaimanapun, saya masih dapat mencatat pelbagai catatan sejarah yang terdapat di dalam Muzium Negara melalui buku nota yang saya bawa. Selain peristiwa-peristiwa bersejarah, terdapat barangan lama yang dipamerkan seperti senjata-senjata yang digunakan oleh pahlawan pada zaman dahulu, peralatan muzik, kebudayaan dan lain-lain lagi. Sebelum beredar, kami sempat membeli beberapa keping poskad dan cenderamata untuk dibawa pulang. Kami juga sempat merakam gambar kami sekeluarga di luar bangunan Muzium Negara untuk diabadikan dalam kenangan.

      Pengalaman melancong ke tempat bersejarah kali ini, telah banyak memberikan ilmu pengetahuan kepada saya selain menyemai semangat cinta akan negara. Melancong ke tempat-tempat bersejarah ini juga dapat mengisi masa lapang saya pada cuti sekolah dengan aktiviti yang berfaedah. Saya berharap agar bapa saya akan membawa saya dan keluarga untuk mengunjungi tempat-tempat bersejarah yang lain pula pada cuti persekolahan yang akan datang.

Karangan ditulis oleh: Ang Zheng Feng
Pelajar Tingkatan 3, 2014.